KEPENTINGAN BLOG DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU

             Blog (singkatan untuk web log dalam bahasa Inggeris) ialah sebuah laman web yang kemasukan-kemasukannya ditulis menurut urutan kronologi dan dipaparkan dengan tertib terbalik. Selain daripada itu, blog juga memberikan ulasan atau berita mengenai sesuatu tajuk seperti makanan, politik, atau berita tempatan.

           Sesetengah blog berperanan sebagai buku harian peribadi dalam talian. Blog yang tipikal menggabungkan teks, imej dan pautan ke dalam blog, laman web, dan media lain yang berkaitan dengan topiknya. Keupayaan para pembaca untuk meninggalkan ulasan mereka dalam format interaktif merupakan ciri yang utama untuk kebanyakan blog. Kebanyakan blog umumnya adalah blog teks.

          Blog seharusnya diketengahkan sebagai satu bentuk pendidikan yang baru di negara kita memandangkan ia membawa banyak kebaikan kepada guru dan juga pelajar. Murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri pembelajaran abad ke-19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang menyimpan beribu-ribu maklumat manakala murid ibarat cakera keras ( hard disk ) tanpa memori untuk diisi.

           Gaya pembelajaran terkini, seperti yang ditegaskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan pelbagai pendekatan seperti pembelajaran secara hands-on, kontekstual, konstruktivisme dan masteri. Pendekatan yang digunakan haruslah memberi peluang yang tidak terhad kepada murid dan mengambil kira tahap kecerdasan murid. Ini adalah selaras dengan gaya pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan literasi era digital, murid berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang tinggi.

             Selain daripada itu, penggunaan blog dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan motivasi dan prestasi murid. Kemajuan teknologi multimedia telah berupaya untuk mempersembahkan video bergerak, animasi yang canggih dan grafik warna berbanding yang lama digunakan sebagai alat pemprosesan data dan menaip teks semata-mata. Kemampuan multimedia dalam menyampaikan sesuatu maklumat dengan cepat, tepat dan mampu menjadi daya tarikan bagi mewujudkan suasana pembelajaran menyeronokkan (Zamri & Mohamed Amin, 2008).

          Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan untuk membangunkan institusi pendidikan negara. Setiap kebaikan dan keburukan boleh ditentukan oleh diri sendiri. Jadi, keburukan sesuatu perkara adalah kecil berbanding kepentingan yang dibawa dalam sesuatu perkara.




No comments:

Post a Comment